Islam Itu Indah

Mengumpulkan isi-isi tentang islam

Saturday, 14 October 2017

Tertipu Dengan Menyembah Kesenangan & Kepentingan Diri Atas Nama Agama



Satu ketika, Rasulullah SAW sedang duduk-duduk bersama dengan para sahabat.  Kemudian salah seorang sahabat berkata bahawa dia mempunyai seorang jiran wanita yang sering berpuasa pada waktu siang dan sembahyang tahajud pada waktu malam. 

Mengejutkan apabila Rasulullah mengatakan bahawa wanita itu ahli neraka. Sahabat bertanya kehairanan. Jawab Baginda Rasulullah SAW: “Wanita itu selalu menyakiti jiran tetangga dengan lidahnya. Tidak ada kebaikan lagi baginya dan dia adalah ahli neraka.”

Ya, tentu ada yang salah di mana-mana jika ada orang yang: 
• Rajin solat, tetapi masih gemar berbuat maksiat. 
• Kerap berpuasa, tetapi sangat bakhil dan kedekut. 
• Banyak berzikir dan berwirid, tetapi masih mengumpat dan mengeji dengan lisannya. 

Mengapa amal ibadah mereka tidak membuahkan akhlak yang baik? Sedangkan, ibadah itu umpama pohon, manakala akhlak itu umpama buah
Mari kita ikuti sebuah kisah yang ada kaitannya dengan perkara di atas.

Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal; Bisyr bin al-Harith untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. 

Dia berkata: “Aku berniat pergi haji. Adakah terdapat sesuatu yang engkau hendak sampaikan kepadaku untuk aku lakukan?”
“Berapa banyak wang yang kau siapkan sebagai bekalan?” tanya Bisyr. 
“Dua ribu dirham.”
“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia, hendak melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau mencari keredaan Allah?” 
“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.
“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap tinggal di rumahmu dengan menginfakkan dua ribu dirham itu, adakah engkau bersedia untuk melakukannya?” soal Bisyr lagi.
“Ya.”
“Kalau begitu pergilah dan infakkan wang dua ribu dirham itu untuk menolong 10 golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutang, lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap hidupnya; seorang yang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga anak yatim, lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya...”

Bisyr menyambung lagi: “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk memberi wang itu kepada seorang sahaja daripada kalangan mereka, maka berikanlah! 

Sesungguhnya, perbuatan engkau memberikan kegembiraan di hati orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya keluar dari kesusahan dan menolong orang yang lemah adalah jauh lebih utama daripada ibadah haji 100 kali (setelah haji pertama yang diwajibkan sekali sahaja seumur hidup).” 

Bisyr bin al-Harith meneruskan lagi bicara: “Sekarang engkau pergilah dan infaklah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan. Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hatimu sekarang...”

Lelaki itu termenung sebentar lalu berkata: “Wahai Abu Nashr (gelaran Bisyr bin al-Harith), niat aku mengerjakan haji lebih kuat dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!” 

Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata: “Memang, apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhat, maka hati akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal Allah telah bersumpah demi diri-Nya sendiri, bahawa Dia tidak akan menerima selain amalan orang yang bertakwa.

Kisah yang pernah berlaku kepada Ibn al-Mubarak boleh dijadikan renungan. Abdullah bin al-Mubarak ialah seorang ulama yang tinggal di Makkah. Pada suatu malam, setelah selesai menunaikan ibadah haji, beliau tertidur dan bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit.
 “Berapa ramai orang yang mengerjakan haji tahun ini?” tanya malaikat kepada malaikat yang lain.
 “600,000 orang,” jawab malaikat itu.
 “Berapa ramai yang hajinya diterima?”
“Tiada seorang pun.”
 Dialog antara dua malaikat ini menggerunkan Ibn al-Mubarak
“Apa?” beliau menangis. 
“Semua jemaah haji ini telah datang dari seluruh pelosok bumi yang jauh, menempuh kesulitan yang hebat dan keletihan sepanjang perjalanan, tetapi semua usaha mereka itu sia-sia?”
“Cuma ada seorang iaitu tukang kasut di Damsyiq bernama Ali bin Muwaffaq,” kata malaikat yang pertama. “Dia tidak datang menunaikan ibadah haji, tetapi ibadah hajinya diterima dan seluruh dosanya telah diampuni.
Menurut Ibn al-Mubarak ketika mendengar penjelasan itu, beliau terbangun. Beliau memutuskan untuk menuju ke Damsyiq dan mengunjungi lelaki tersebut. Di Damsyiq, beliau menemukan tempat tinggal lelaki itu. Ibn al-Mubarak memberi salam dan lelaki itu keluar. 

“Siapakah namamu dan apakah pekerjaanmu?” soal Ibn al-Mubarak. 
“Aku Ali bin Muwaffaq, seorang tukang kasut. Siapakah pula namamu?”
“Aku Abdullah bin al-Mubarak.” 
Tiba-tiba Ibn al-Mubarak menangis dan jatuh pengsan. Setelah sedar, beliau memohon agar lelaki itu bercerita kepadanya. Bagaimana dia tidak pergi haji, tetapi ibadah hajinya diterima? 
Ali bin Muwaffaq mula bercerita: “Selama 40 tahun aku rindu hendak melakukan perjalanan haji ini. Aku telah memperuntukkan 350 dirham hasil pekerjaan aku. Tahun ini aku memutuskan untuk pergi ke Makkah. Suatu hari, isteriku yang sedang hamil tercium bau makanan yang sedang dimasak oleh tetangga sebelah dan memohon agar dia dapat merasa makanan itu sedikit. 
“Aku pun pergi menuju ke kediaman tetangga sebelah. Aku ketuk pintunya kemudian menceritakan keinginan isteriku. Jiran aku tiba-tiba menangis. ‘Sudah tiga hari ini anakku tidak makan apa-apa,’ katanya. Hari ini, aku melihat seekor keldai lalu memotongnya. Kemudian memasaknya untuk mereka. Ini bukan makanan yang halal bagimu, tetapi halal bagi kami. 
“Hatiku merasa amat sedih mendengar ceritanya. Aku mengambil 350 dirham wang yang aku peruntukkan untuk mengerjakan haji itu, lalu aku berikan kepadanya. ‘Belanjakan ini untuk anak mu,’ ucapku. Inilah kembara haji ku.” 
 “Malaikat berbicara dengan benar dan nyata dalam mimpi aku. Penguasa kerajaan syurga (Allah) adalah benar dalam keputusan-Nya menerima haji lelaki itu,” ujar Ibn al-Mubarak. 

Subhanallah, pengajaran daripada kisah ini sangat relevan hingga kini. Kita melihat betapa ramai ahli ibadah tertipu apabila “menyembah” kesenangan dan kepentingan dirinya atas nama agama. 

Mereka meminggirkan amalan yang menyuburkan kasih sayang sesama manusia kononnya untuk berbakti kepada Allah. 

Padahal kesan amal ibadah itu ialah akhlak. Akhlak pula terserlah melalui sifat kasih sayang kepada manusia lain. Tegasnya, kasih sesama manusia itu adalah kesan kasih kepada Allah. Firman Allah:ﭚ
“Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” (Surah Maryam 19: 96)

Ada orang yang riyak dengan rumah besar dan kereta mewahnya. Ironinya, ada juga orang yang riyak dengan amal ibadahnya. Cuba lihat, betapa ramai orang yang mengerjakan haji dan umrah berkali-kali. Setiap kali pulang ke tanah air, dia mula bercerita tentang tangisannya ketika mengucup Hajarulaswad, hatinya yang tersentuh ketika berdoa penuh khusyuk di Pancur Emas atau rasa sayu dan sedih ketika tafakur di makam Rasulullah SAW. Itulah yang menjadi bahan ceritanya sekembali dari Makkah. 

Seiring perkembangan teknologi terkini, segala yang dilalui menjadi entri baharu di muka buku (Facebook). Terpampanglah gambarnya dengan pelbagai aksi syahdu di makam Ibrahim, di sisi Kaabah dan pelbagai lagi tempat suci. 

Sepatutnya apabila berada di rumah Allah, yang kita besarkan adalah Allah, bukan diri kita yang berada di rumah Allah itu. Jika kita merintih, merintihlah dengan suara yang didengari Allah, bukan tulisan yang dimuat naik untuk tatapan orang ramai.  

Lebih malang lagi apabila dalam realitinya, ada juga individu yang telah berkali-kali mengerjakan umrah atau haji ini tega membiarkan saudara-mara, anak yatim, orang miskin, janda terbiar, bahkan sahabat terdekatnya berada dalam  keadaan melarat. 

Contohnya, ada majikan yang memburu pahala mengucup Hajarulaswad sedangkan dia mempunyai peluang merebut pahala yang lebih besar dengan membela nasib pekerjanya yang hidup serba kekurangan. Atau orang kaya yang mengejar pahala berganda dengan menunaikan solat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, sedangkan jirannya mengikat perut dek kelaparan.   

Para abid yang tertipu ini hanya membina ritual agama, tetapi bukan roh atau spiritual agama. Nilai amalan itu bukan terletak kepada soal-soal lahiriah (walaupun itu juga dituntut), tetapi terletak pada tujuan dan roh amalan tersebut.  

Allah mengingatkan betapa kita perlu menyantuni orang yang melarat dalam masyarakat kerana itu tanda iman dan amal soleh. Allah berfirman:
Maksudnya: “Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Yakni mereka yang mengherdik anak-anak yatim. Dan tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin.” (Surah al-Ma‘un 107: 1-3)  

Muslim sebenar ialah mereka yang sentiasa mengambil berat tentang kesusahan orang lain. Kesusahan orang lain dirasakan kesusahannya juga.

Laksana satu jasad. Apabila satu sahaja anggota sakit, semuanya turut merasa sakit dan sama-sama berjaga malam. Begitu mafhum sabda Rasulullah SAW. Khususnya ketika berdepan dengan mereka yang kelaparan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman kepada-Ku sesiapa yang tidur kekenyangan, sedangkan dia tahu jiran di sebelahnya kelaparan.” (Riwayat al-Tabarani)

Sering diungkapkan oleh orang yang bijaksana: “Kita perlu akrab dengan manusia untuk mengetahui masalahnya dan kita perlu akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah tersebut.” 

Ertinya, hubungan dengan Allah (habluminallah) dan hubungan sesama manusia (habluminannas) itu sangat erat keterkaitannya. 

Seseorang tidak dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan Allah sekiranya tidak menjalinkan hubungan yang baik sesama manusia. 

Justeru, carilah orang yang kelaparan, kepanasan atau kesejukan kerana tiada tempat berlindung, lalu santunilah mereka dengan salam, kata-kata yang baik serta bantuan yang termampu.

Jangan mendustakan agama dengan sifat individualistik dan materialistik.   
Sesungguhnya keredaan Allah bukan sahaja ada di masjid atau surau, tetapi terdapat juga  rumah anak-anak yatim, rumah orang miskin, rumah sakit dan rumah kebajikan warga emas. 

Jika kita bijak menilai keutamaan, banyak yang kita boleh lakukan untuk mendapatkan kecintaan Allah dengan berbuat baik sesama manusia. Jangan menjadi abid yang individualistik!

1 comment: